Tumpuan :
Nasional

Jumlah mangsa banjir di 6 negeri meningkat lebih 25,000

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di enam negeri terus meningkat kepada 25,915 mangsa membabitkan 7,854 keluarga, dengan Kelantan merekodkan angka tertinggi.

Semua mereka ditempatkan di 228 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan, Terengganu, Johor, Perak, Perlis dan Kedah setakat jam 8.30 malam.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daripada jumlah itu, seramai 22,627 mangsa daripada 6,766 keluarga di sembilan daerah di Kelantan yang berlindung di 131 PPS.

PPS di Kelantan mula dibuka sejak 24 November lalu di sembilan daerah terbabit iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.

Di Terengganu, jumlah mangsa ialah 3,046 daripada 1,014 keluarga membabitkan enam daerah iaitu Marang, Dungun, Kemaman, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut dan ditempatkan di 103 PPS.

Di Kedah pula, setakat ini hanya satu PPS dibuka dengan 146 mangsa daripada 45 keluarga manakala di Perlis dua PPS dibuka menempatkan 49 mangsa daripada 14 keluarga.

Sementara itu, di negeri lain yang terjejas iaitu Johor mencatatkan seramai 28 mangsa daripada lapan keluarga di daerah Segamat, dengan hanya satu PPS saja dibuka di Balai raya Gemereh IV (Batu Badak).

Perak pula mencatatkan 20 mangsa banjir daripada tujuh keluarga di daerah Kerian dan ditempatkan di satu PPS saja iaitu Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman, Bagan Serai.

Daripada jumlah keseluruhan mangsa, sebanyak 3.39 peratus (878 orang) membabit warga emas lelaki, 3.92 peratus (1,017 warga emas perempuan).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini