Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
KUALA LUMPUR: Jumlah kes jangkitan mpox clade II di Malaysia bagi tahun ini bertambah kepada 2 kes, susulan satu jangkitan baharu dikesan pada 25 November lalu.
Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi satu kenyataan memaklumkan, secara kumulatifnya, Malaysia mencatatkan sebanyak 11 kes sejak 26 Julai 2023.
“Kes baharu ini melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari dan terlibat dalam aktiviti berisiko.
“Kes mula menunjukkan gejala ruam pada tangan, badan dan kaki sejak 15 November 2024 dan individu itu telah mendapatkan rawatan pada 23 November 2024,” maklum KKM dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, KKM menyatakan individu tersebut kini di dalam keadaan sedang menjalani isolasi serta telah menerima rawatan simptomatik.
Semua kontak rapat sedang dikenal pasti dan dipantau untuk tanda dan gejala mpox selama 21 hari dari tarikh terakhir pendedahan.
Mpox ialah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus mpox, iaitu spesis di bawah genus Orthopoxvirus.
Jangkitan boleh berlaku antara manusia ke manusia melalui sentuhan rapat secara langsung dengan ruam atau lepuh pada kulit individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan mpox.
Jangkitan juga boleh berlaku melalui pendedahan kepada cecair respiratori semasa hubungan intim.
Gejala mpox ialah demam berserta ruam “maculopapular rash” atau ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan juga kornea.
Tempoh pengeraman (incubation period) iaitu tempoh daripada terdedah kepada jangkitan sehingga individu menunjukkan gejala jangkitan mpox adalah antara lima (5) hingga ke 21 hari.
KKM akan terus memantau situasi mpox di dalam dan luar negara dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Orang ramai dinasihatkan untuk terus mengikuti perkembangan rasmi melalui saluran yang disahkan dengan mengikuti akaun-akaun media sosial KKM.