KUALA LUMPUR: Jumlah bayaran pampasan akhir yang diberi kepada waris mangsa tragedi pesawat MH17 milik Malaysia Airlines (MAS) tertakluk kepada pembuktian kerugian yang dialami penumpang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pembuktian kerugian itu dinilai mengikut prinsip undang-undang dan tertakluk kepada Konvensyen Montreal.
“Namun begitu saya difahamkan apabila berlakunya MH17 ini, melalui syarikat penerbangan, keluarga penumpang telah diberikan pampasan sebelum ini.
“Tetapi jumlah itu perkara yang sulit antara syarikat penerbangan dengan keluarga penumpang,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum ini, dilaporkan pesawat malang MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di timur Ukraine, dipercayai ditembak jatuh di ruang udara negara bergolak itu pada 17 Julai 2014.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, 17 Ogos lalu, Loke berkata, kerajaan ada menghulurkan bantuan kewangan kepada keluarga mangsa pemandu kereta dan penunggang motosikal maut susulan kejadian.
“Kerajaan juga bantu, ada juga daripada syarikat e-hailing juga membantu,” katanya.
Dalam kejadian 2.50 petang, 17 Ogos lalu, 10 lelaki disahkan maut selepas pesawat terbabit terhempas di Elmina.
Lapan yang maut adalah penumpang dan dua kru pesawat, manakala dua lagi ialah pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat terhempas.