comscore
Tumpuan :
Nasional

“Juh Raon” serikan hari kedua HAWANA 2024

KUCHING: Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 yang memasuki hari kedua hari ini diisi dengan pelbagai program bukan hanya bersifat ilmiah, namun turut diserikan dengan acara santai ‘Juh Raon’ bagi mengenali keunikan budaya dan pembangunan terkini Bumi Kenyalang.

Menerusi ‘Juh Raon’ yang bermaksud ‘jom bersiar-siar’ dalam dialek tempatan, 75 pengamal media dari Semenanjung Malaysia, Sabah serta luar negara akan dibawa melawat lokasi ikonik di sekitar bandar raya Kuching.

Antaranya Muzium Budaya Borneo, Jambatan Darul Hana dan Dataran Ibu Pertiwi, sebelum peserta diraikan di restoran English Tea House untuk majlis jamuan teh dan sesi perangkaian.

Sementara itu Pameran HAWANA 2024 di Atrium Utama, Plaza Merdeka memasuki hari kedua hari ini dengan menyediakan 20 reruai pameran pelbagai agensi berhubung perkhidmatan mereka selain memberi peluang kepada para pengunjung mendapatkan maklumat serta menyertai aktiviti disediakan.

Pengunjung juga berpeluang melihat sendiri peralatan klasik seperti kamera, radio, alat rakaman, kamera video selain sejarah penubuhan media di Sarawak pada pameran yang dibuka dari 10 pagi hingga 5 petang itu.

Antara agensi yang terlibat dengan pameran berkenaan ialah Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Unit Komunikasi Awam Sarawak, TVS, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Sarawak Tourism Board (STB) dan Uda Holdings Berhad.

Selain itu Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 selama dua hari yang bertemakan “Evolusi Media dalam Era Digital” membuka tirainya hari ini melibatkan kira-kira 600 peserta tempatan dan luar negara.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan merasmikan persidangan berkenaan yang merupakan sebahagian daripada program sempena HAWANA 2024.

Pada sebelah malam, peserta sambutan HAWANA 2024 akan diraikan dalam majlis makan malam dihoskan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

HAWANA 2024 disertai kira-kira 1,000 pengamal media dari 11 negara iaitu Kemboja, Indonesia, Jepun, Kuwait, Brunei, Filipina, Timor-Leste, Vietnam, China, Korea Selatan dan Qatar.

Acara perhimpunan terbesar wartawan Malaysia itu dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Sarawak dan Bernama sebagai agensi pelaksana.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini