Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Semua pihak perlu memberi ruang kepada Polis Diraja Malaysia (PRDM) untuk menyusun strategi berhubung kegiatan perjudian dalam talian haram dinaungi pemimpin politik.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan bersasar akan diambil berdasarkan maklumat dan data yang diperoleh unit risikan pasukan penguat kuasa berkenaan.
“Apa maksud naungan politik? Akan wujud elemen perlindungan, pengaruh dan itu beri kesan kepada polis sebagai badan penguat kuasa terbesar dalam negara, akan ada elemen rasuah dan suapan dalam banyak bentuk yang boleh merencatkan keberkesanan penguatkuasaan polis.
“Jadi apakah polis ada maklumat? Jawapannya ada, dalam radar (polis).
Sebab itu mengumpulkan data yang tepat membolehkan kita buat tindakan bersasar dan ia bukan satu maklumat yang boleh kita hebahkan secara umum. Itu akan menjejaskan pekerjaan pasukan polis, yang nama pun unit risikan. Saya tak akan sebut itu secara afirmatif tanpa saya diberi penerangan yang meyakinkan (dari polis),” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Semalam, ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Saifuddin mengesahkan kegiatan perjudian dalam talian haram dinaungi pemimpin politik.
Beliau berkata, elemen berkenaan menjadi kekangan terbesar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PDRM serta kerajaan secara keseluruhannya dalam usaha membanteras kegiatan itu.
Katanya, pihak yang menyediakan platform perjudian dalam talian itu boleh mengaut keuntungan sekitar RM200 juta seminggu.
Beliau menjawab soalan Datuk R Ramanan (PH-Sungai Buloh) yang ingin mengetahui jika benar wujud naungan politik dalam kegiatan perjudian dalam talian haram.
Saifuddin menegaskan, KDN bersama polis kini sedang menyemak jika wujud kelulusan baharu lesen perjudian yang membabitkan orang politik tertentu.