comscore
Tumpuan :
Nasional

Jualan Rahmah lebih baik – Fuziah

FOTO: NSTP

Oleh Fahiz Ariff

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk mewujudkan kedai runcit yang menyerupai kedai rakyat 1Malaysia dalam usaha untuk mengatasi kenaikan kos sara hidup.

Sebaliknya, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh, yakin program jualan rahmah yang sedang dilaksanakan di negara ini adalah cara yang lebih baik.

“Setakat ini pihak kementerian tidak berhasrat untuk mewujudkan kedai runcit mirip kedai runcit 1Malaysia kerana menelan kos yang banyak selain menyedari akan kegagalan kedai runcit itu”

“Cara kita mengatasinya adalah dengan mengadakan jualan rahmah di pasaraya-pasaraya yang menawarkan sehingga 30 peratus potongan harga”, katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Chiew Choon Man (PH-Miri) yang bertanya sama ada kerajaan bersedia mewujudkan program seperti Kedai Rakyat 1Malaysia untuk menjual barangan pada harga yang lebih murah dan meluaskan program Food Bank.

Dalam pada itu beliau berharap, sesi libat urus bersama ahli parlimen juga dapat dilaksanakan dalam memastikan lokasi yang sesuai untuk diadakan Jualan Rahmah.

“Saya pohon ahli-ahli yang berhormat luluskan juga diperingkat jawatankuasa supaya dapat dilaksanakan di semua kawasan parlimen,” ujarnya.

Sebelum ini, KPDN memperoleh peruntukan sebanyak RM100 juta bagi menjayakan Program Jualan Rahmah dalam Belanjawan 2023 di kesemua 222 kawasan parlimen.

Loading...
Terkini