Oleh: Fahiz Ariff
KUALA LUMPUR: Langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, (KPDN) memperkenalkan Program Jualan Rahmah Beras pada harga berpatutan melegakan pengguna.
Bagi rakyat, jualan pada harga sehingga maksima RM14 ringgit bagi setiap lima kilogram berbanding dijual di pasaran, boleh mengurangkan beban kos sara hidup dan mengurangkan kebergantungan kepada beras tempatan.
Peniaga, Ealilan Viswasnathan percaya jualan ini merupakan satu langkah tepat, susulan tawaran jualan beras import yang murah itu telah menyediakan alternatif kepada pengguna.
“Inisiatif ini bagus, RM13, RM14 untuk 5kg beras sangat berbaloi”
“Ia juga telah mudahkan kami (Peniaga) untuk berniaga dan tidak perlu runsing dengan bekalan beras yang susah diperolehi ini”, jelasnya.
Nada sama turut dikongsi pengusaha kantin sekolah, Rohana Mohamed yang turut menyambut baik langkah KPDN itu.
Baginya, dilema untuk menaikkan harga makanan mungkin tidak lagi menjadi isu yang membelenggu pemikiran peniaga.
“Memang sangat baguslah memandangkan harga beras sangat mahal. Kalau dulu RM26 untuk 10kg, sekarang ni cecah RM40”
“Macam saya ni peniaga kantin sekolah yang biasanya jual makanan murah, kalau beras mahal macam mana kita nak jual murah kan”, katanya ketika ditemui Buletin tv3.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, (PPPBWPKL), Datuk Muhamad Baba ketika ditemui menyarankan, inisiatif murni itu wajar bergerak seiring dengan usaha mengembalikan akses beras putih tempatan yang terhad.
“Jualan Rahmah Beras memang baik dan sangat dia-alukan, cuma dalam masa sama kembalikan juga bekalan beras putih tempatan dalam masa terdekat”
“Saya sendiri sukar mencari beras putih tempatan, yang ada cuma beras import dan sedia maklum harganya sangat mahal sekarang ni, cecah RM40”, katanya.
Tegasnya, kerajaan perlu ada pelan jangka panjang bagi menstabilkan bekalan dan harga makanan negara.
“Kerajaan perlu ada satu dasar pembangunan jangka panjang supaya negara kita boleh hasilkan sendiri (bekalan makanan) tanpa mengharapkan import, terutamanya beras, gula, minyak, susu”, kongsinya kepada Buletin tv3.
Jualan Rahmah Beras dengan peruntukan RM150 juta membolehkan rakyat membeli beras pada harga diskaun selepas akses kepada beras tempatan terganggu.
Pada 1 September lalu, Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dalam satu kenyataan mengumumkan harga jualan beras putih import seluruh negara daripada RM2,350 satu tan kepada RM3,200 satu tan berkuat kuasa hari sama, sejajar harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.
Susulan kenaikan harga beras import itu di pasaran tempatan, permintaan terhadap beras tempatan turut meningkat menyebabkan kekurangan bekalan di pasaran.