JOHOR BAHRU: Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tidak menyekat penjualan ikan buntal di Johor kerana selain menjadi menu makanan berasaskan ikan, buntal juga dijadikan ikan hiasan marin.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip, berkata peraturan berkaitan aktiviti pemasaran ikan juga tidak menyatakan secara spesifik ikan buntal dilarang untuk jualan.
Berkaitan larangan urus niaga ikan yang tidak selamat, beliau berkata, ia tidak membenarkan sebarang urus niaga, memproses, mengeksport atau mengimport ikan yang tidak selamat dimakan oleh manusia tanpa kebenaran.
“Namun, peniaga perlu berwaspada dengan makanan yang dijual, termasuk ikan. Menjadi satu kesalahan jika terbukti mereka menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada di dalam atau padanya bahan beracun, merosakkan atau memudaratkan kesihatan.
“Apabila disabitkan dengan kesalahan, individu itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Akta Makanan 1983 (Akta 281) dan Peraturan Peraturan: Bahagian III Kesalahan dan Keterangan – Seksyen 13 (1).
“Pengguna juga dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam menyediakan makanan berasaskan ikan atau ketika menikmati juadah berasaskan ikan di restoran atau kedai makan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jumaat lalu, wanita warga emas, Lim Siew Guan, 83, maut selepas memakan hidangan ikan buntal di Kampung Chamek, Paloh, Kluang, manakala suaminya, Eng Kuai Sin@ Ng Chuan Sing, 84, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK).
Menurut anak mangsa, Ng Ai Lee, 51, keluarganya kesal dan sedih kerana penjual tidak memberitahu ikan dibeli bapanya itu sebenarnya beracun.
Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 58 kes keracunan ikan buntal membabitkan 18 kematian dilaporkan sejak 1985 hingga Mac.
Katanya, larangan penjualan ikan buntal sudah ditetapkan dengan jelas mengikut Akta LKIM 1972, manakala Seksyen 13 Akta Makanan 1983 turut menerangkan dengan jelas larangan penjualan makanan yang mengandungi atau di atasnya bahan beracun, berbahaya atau sebaliknya memudaratkan kesihatan.