comscore
Tumpuan :
Nasional

Jual juadah hidangan daging buaya, biawak, babi hutan di media sosial

Antara suspek yang ditahan ketika serbuan disebuah restoran di Banting.

KUALA LUMPUR: Jual pelbagai masakan berasaskan daging haiwan liar dilindungi melalui media sosial.

Itu antara kegiatan haram dibongkar membabitkan aktiviti sebuah restoran di Banting, Selangor, yang dikesan menjual juadah hidangan berasaskan daging buaya, biawak dan babi hutan kepada pelanggan.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kegiatan itu dikesan susulan risikan dan serbuan dilakukan sepasukan pegawai Wildlife Crime Unit (WCU) PERHILITAN diketuai Celescoriano Razond pada jam 11 pagi kelmarin.

Beliau berkata, susulan pemeriksaan dilakukan di premis itu, pasukan WCU menemui sejumlah besar bahagian disyaki hidupan liar yang disimpan tanpa dokumen dan permit yang sah.

“Antara bahagian daging hidupan liar dirampas disyaki adalah daging buaya, babi hutan dan biawak. Anggaran nilai rampasan adalah lebih RM75,000.

“Tiga individu ditahan membabitkan pemilik perniagaan dan dua pekerja warga Bangladesh berusia 30-an hingga 60-an,” katanya.

Kadir berkata, siasatan lanjut mendapati premis perniagaan berkenaan aktif menjual hidangan eksotik sejak tiga tahun yang lalu. Restoran berkenaan juga viral baru-baru ini kerana mempromosikan hidangan eksotik melalui platform media sosial.

“Kes penemuan daging hidupan liar dilindungi itu kini disiasat mengikut Seksyen 60 dan Seksyen 68, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). Suspek boleh dikenakan hukuman mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 (Akta A1646).

“Operasi ini membuktikan kesungguhan WCU dalam memerangi jenayah hidupan liar dan melindungi spesies terancam,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini