comscore
Tumpuan :
Nasional

Jual ikan sekilo RM1; bersedekah, bantu ringan beban pengguna

Orang ramai mengambil kesempatan jualan murah ikan selayang RM1 sekilogram di Bandar Utama Gua Musang, di sini. – Foto NSTP

GUA MUSANG: Seorang penjual ikan di Bandar Utama Gua Musang mengambil inisiatif menjual ikan selayang dengan harga RM1 sekilogram bagi membantu meringankan beban penduduk di situ.

Zuhairi Hashim, 34, menyediakan sebanyak dua tan ikan selayang yang dijual dengan harga RM1 kepada pelanggannya dan lebih 10 tan pelbagai jenis ikan lain, semalam.

Katanya, inisiatif menjual ikan selayang dengan harga murah untuk membantu meringankan beban mereka yang memerlukan, sambil bersedekah.

“Kalau ikutkan memang saya tak balik modal bila buat jualan murah seperti ini. Tetapi apabila memikirkan keadaan masyarakat sekarang yang rata-rata bekerja dengan gaji hari, penoreh getah dan bekerja sendiri, musim tengkujuh sedikit sebanyak memberi kesan kepada mereka.

“Jadi saya mengambil inisiatif membuat jualan ini sambil bersedekah. Ini kali kedua saya membuat jualan ikan selayang dengan harga RM1 sekilogram pada minggu ini. Bukan hanya ikan selayang barangan basah lain juga dijual dengan harga lebih murah dari pasaran.

“Saya harap dengan usaha ini dapat meringankan beban masyarakat di sekitar bandar ini dan insya-Allah akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui di kedai ikan miliknya di Bandar Utama Gua Musang, di sini.

Sementara itu, seorang pelanggan, Nor Aisyah hamzah, 28, berkata dia datang seawal jam 7.30 pagi untuk membeli ikan dengan harga murah.

“Jualan seperti ini sangat membantu kami golongan B40 terutama yang bekerja gaji hari untuk membantu meringankan beban kami.

Warga emas, Zariah Ismail, 65, berkata dia datang bersama anak dari Kampung Tanah Putih untuk membeli ikan murah.

“Ikan selayang harga RM1 sekilogram memang sangat murah. Jadi hari ini saya dan anak membeli sebanyak dua kilogram seorang,” katanya.

Loading...
Terkini