KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan bekerjasama dengan Polis Kontinjen Selangor bagi mengenal pasti rakan suspek kes tembakan di pusat beli-belah di Setia Alam, Selangor, kelmarin.
Kerjasama itu bagi membantu memburu suspek berusia 30-an yang masih bebas dan mempunyai 11 rekod jenayah lampau termasuk dadah.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, pihaknya berhubung dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung insiden berkenaan.
“Kita bekerja dalam satu pasukan yang sama, jadi sudah tentu kita (JSJN) akan membantu pasukan lain untuk mencapai kejayaan (tangkapan).
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai 10 jabatan yang mana setiapnya mempunyai peranan masing-masing. Kejayaan dicapai JSJN selama ini juga hasil kerjasama oleh semua jabatan berkaitan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.
Ditanya kemungkinan suspek di bawah pengaruh dadah ketika kejadian memandangkan dia mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, Khaw berkata, siasatan lanjut berhubung perkara itu perlu dilakukan.
Katanya, ia hanya dapat disahkan selepas suspek berjaya diburu dan ditahan untuk siasatan.
Semalam, media melaporkan, polis mengenal pasti suspek kes tembakan di pusat beli-belah di Setia Alam sebagai lelaki tempatan yang mempunyai 11 rekod kesalahan lampau berkait jenayah dan dadah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, identiti suspek dikesan hasil risikan polis dan penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Beliau dipetik berkata, dalam kejadian 10.50 malam itu, suspek menembak seorang pekerja pembersihan ketika sedang menyimpan peralatan mencuci di aras P1 dan cedera terkena empat das tembakan di kaki serta punggung.
Suspek kemudian mengacukan pistol ke arah seorang saksi lain lalu mengarahkan membawanya keluar dari pusat beli-belah berkenaan.
Dia selepas itu menahan kereta jenis Perodua Ativa yang dipandu seorang pengunjung sambil mengacukan pistol, memaksa pemandu membawanya keluar dari kawasan Shah Alam lalu meminta berhenti di tepi lebuh raya sebelum menghilangkan diri.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kemudian dilaporkan berkata, siasatan awal polis mendapati suspek melepaskan tembakan dipercayai akibat berang ditegur pekerja pembersihan supaya mengalihkan barang yang diletakkan di kawasan kejadian.