Tumpuan :
Nasional

JSJ selami latihan komando, perkukuh pasukan dan kerjasama

IPOH: Latihan menguji ketahanan mental dan fizikal membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman merupakan usaha memantapkan lagi pasukan sang saka biru menerusi kerjasama dengan pasukan VAT 69 Komando.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, latihan itu adalah program yang julung kali diadakan membabitkan pihak JSJ Bukit Aman.

Selain berdepan dengan cabaran ketahanan fizikal, objektif program antara lain bertujuan untuk melahirkan barisan kepimpinan baharu pada masa akan datang.

Ini termasuk menyelami dunia latihan Komando yang jauh lebih mencabar berbanding latihan asas melibatkan pasukan JSJ.

“Untuk Komando atau Unit Tindakan Khas (UTK) perkara ini mungkin sudah biasa buat mereka dan apa yang penting adalah untuk memupuk semangat kerjasama dan integriti.

“Latihan ini bukan mudah kerana perlu memasuki hutan selama 7 hari melibatkan 30 pegawai dan anggota supaya mereka bergabung untuk pastikan kerjasama yang mantap.

“Saya yakin semangat kerjasama ini akan kekal dan ini yang kita mahukan dalam pasukan JSJ.

“Mereka akan rasa bagaimana pasukan Komando ini yang berdepan cabaran dan rintangan dengan laluan yang mencabar di dalam hutan supaya mereka tahu betapa peritnya pegawai dan anggota komando dalam menjalankan latihan atau operasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Majlis Penutupan Program Pemimpin Masa Depan di Empangan Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yakin program berkenaan akan diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan unit yang lebih meluas di Bukit Aman.

Program berkenaan yang dikenali sebagai Banjaran Titiwangsa Camaraderie menuntut mereka untuk berkampung selama tujuh hari, yang menuntut cabaran aktiviti di dalam hutan serta latihan kecerdasan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, perbezaan kepakaran dalam Komando mampu menjadikan pasukan JSJ lebih terdedah dengan latihan yang jauh berbeza daripada skop penugasan mereka.

“Kesenangan yang mereka (JSJ) dapat di bandar (tidak sama) kerana ada orang yang berkorban masa, waktu dan tenaga di dalam hutan, jadi itu yang saya ingin dedahkan kepada anak buah.

“Ada cadangan juga untuk ikuti latihan dengan elemen ‘survival’ yang perlu berdepan dengan cabaran tanpa bekalan makanan. Ini mungkin kita akan pertimbangkan untuk akan datang.

“Kepakaran dalam VAT 69 itu unik dan khas untuk mereka yang terpilih sahaja. Konteks di dalam hutan dan bandar berbeza jadi ini yang cuba kita terapkan,” katanya.

Majlis penutup telah disempurnakan Datuk Seri Ayob menerusi sesi pemakaian ‘patch’ melibatkan 30 anggota dan pegawai secara keseluruhan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini