KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman akan melaksanakan audit bagi menilai dan memperhalusi statistik kadar jenayah indeks yang direkodkan sepanjang tahun lalu.
Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, menjelaskan bahawa langkah ini bertujuan memastikan statistik tersebut benar-benar mencerminkan situasi sebenar di lapangan.
Beliau menekankan pentingnya memastikan keselarasan antara data jenayah yang direkodkan dengan persepsi keselamatan masyarakat di setiap negeri.
“Pasukan audit dari Bukit Aman akan menilai semula statistik kejayaan atau perubahan kadar jenayah di seluruh negara untuk menentukan sejauh mana ia relevan dengan persepsi masyarakat terhadap keselamatan mereka.
“Sebagai contoh, jika di Kedah kadar jenayah indeks menurun, saya akan menyemak semula untuk memastikan statistik itu mencerminkan persepsi keselamatan masyarakat di negeri tersebut,” katanya dalam sesi libat urus bersama wartawan di Bukit Aman hari ini.
Mohd Shuhaily menegaskan bahawa audit ini bukan bertujuan menghukum, tetapi untuk memastikan pegawai penyiasat di peringkat daerah dan negeri bertanggungjawab terhadap statistik jenayah indeks di kawasan masing-masing.
“Pegawai penyiasat perlu menjelaskan statistik yang direkodkan, tindakan yang diambil, serta perancangan untuk mengurangkan kadar jenayah indeks.
“Hasil laporan audit ini akan diserahkan kepada Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain, untuk makluman pembuat dasar dan pemimpin negeri,” tambahnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.