PASIR GUDANG: Kerajaan negeri menyasarkan lebih 100,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi akan diwujudkan di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) antara Malaysia dengan Singapura.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin berkata, purata gaji yang bakal ditawarkan bermula RM3,000 hingga dijangka mencecah lebih RM15,000.
Menurutnya, kerajaan negeri yakin Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi pemacu utama dalam melahirkan tenaga mahir tempatan sekali gus mampu mengisi peluang pekerjaan ditawarkan kelak.
Katanya, buat masa ini sebanyak 108 institusi TVET bekerjasama dengan jawatankuasa bersepadu yang dikenali sebagai Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC).
“JTDC adalah peneraju kepada anak muda Johor dan menjadi platform untuk menggabungkan antara pihak industri dan institusi pendidikan agar peka dengan keperluan industri.
“Malah, JDTC dalam proses mengadakan rundingan dengan syarikat swasta bagi memastikan gaji ditawarkan menerusi JS-SEZ adalah pada tahap premium dan lumayan.
“Kita mahu anak Johor merebut peluang pekerjaan yang menawarkan gaji ‘premium’ demi membina masa depan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Konvokesyen Politeknik Ibrahim Sultan ke-29, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Kanan (Kompetensi) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Ts Abdul Razak Sabtu dan Pengarah Politeknik Ibrahim Sultan, Ulaimi Yahya.
Aznan berkata, Johor akan menjadi ‘muara’ kepada segala limpahan peluang ekonomi dan kerjaya dari negara jiran berkenaan.
“Johor akan mengalami pertumbuhan pesat berbanding negeri lain dalam tahun akan datang dan berkat kerjasama erat kerajaan negeri dan pusat, kita berpotensi untuk menjadi antara negeri termaju di negara ini.
“Dalam kurang dua tahun, Johor menarik pelaburan berjumlah RM113.7 bilion dan menghasilkan lebih 35,000 peluang pekerjaan baharu.
“Bagaimanapun, harus saya tegaskan bahawa dalam hidup ini, jika tidak dipecahkan ruyung, kita tidak dapat sagunya, pengayuh sayang dibasahkan, tidak akan sampai ke seberang,” katanya.
Perjanjian Bersama JS-SEZ antara Malaysia dengan Singapura dijadualkan ditanda tangani pada 8 Disember ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.