Tumpuan :
Nasional

JPVNS pantau jangkitan penyakit ASF

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan.

SEREMBAN: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) mengesahkan jangkitan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) di negeri ini adalah terkawal dan tiada kematian terbaharu pada babi hutan dilaporkan berlaku.

Pengarahnya, Dr Kamarulrizal Mat Isa, berkata setakat ini hanya terdapat satu kes positif ASF yang dikesan dari kematian seekor babi hutan jantan dewasa di Ladang Sengkang, Pasir Panjang, Port Dickson, dekat sini, pada 3 Januari lalu.

Katanya, susulan penemuan itu, pelbagai langkah keselamatan sudah diambil dan tiada lagi laporan kematian terbaharu pada babi hutan mahupun ternakan babi komersial.

“Ketika siasatan dibuat, didapati bangkai babi terbabit sudahpun mereput dan sampel tulang telah diambil untuk ujian lanjut.

“Keputusan ujian makmal secara real time PCR menunjukkan ia positif untuk penyakit ASF.

“Sebagai langkah kawalan dan pencegahan penyakit ASF, surat pemakluman mengenai kejadian penyakit ASF pada babi hutan ini telah dikeluarkan pada 10 Januari lalu kepada semua pejabat perkhidmatan veterinar daerah dan negeri,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dr Kamarulrizal berkata, surat berkenaan turut dipanjangkan kepada penduduk tempatan melalui ketua kampung, persatuan, pemburu babi hutan, penternak babi komersial serta semua agensi yang berkaitan termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN).

Beliau berkata, larangan memburu babi hutan turut dikeluarkan oleh pihak PERHILITAN.

Katanya, pihak JPVNS menasihatkan orang awam supaya melaporkan kepada pihak jabatan terbabit sekiranya terdapat penemuan atau kejadian kematian pada babi hutan dan ternakan babi komersial.

“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana jabatan ini sudah mengambil langkah keselamatan dan akan sentiasa memantau sebarang perkembangan terhadap penyakit ASF ini,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini