Tumpuan :
Nasional

JPV ingatkan SPCA Pulau Pinang urus haiwan peliharaan mati dengan betul

Polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang melakukan pemeriksaan di kawasan tempat pembuangan sampah berhampiran Society for the Prevention of Cruelty to Animals (SPCA) Pulau Pinang, Jelutong, Georgetown – FOTO: NSTP

GEORGETOWN: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Pulau Pinang sudah memberi peringatan kepada pusat perlindungan haiwan di Jelutong di sini, bagi menguruskan haiwan yang mati akibat penyakit atau punca lain dengan cara yang betul.

Ia susulan laporan media Jumaat lalu mengenai gambar dan video tular memaparkan penemuan bangkai kucing dalam plastik hitam di tempat pembuangan sampah di hadapan rumah perlindungan haiwan berkenaan dan disyaki dibunuh.

Pengarahnya, Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, pihaknya menerima aduan mengenai penularan itu dan ke lokasi pada hari yang sama.

Katanya, pemeriksaan terhadap tong sampah berwarna biru dan oren mendapati tiada bangkai kucing ditemukan.

“JPV Pulau Pinang turut menghubungi pengadu dan dimaklumkan bahawa sebanyak 10 bangkai kucing berkenaan hilang dan tidak ditemukan pengadu terbabit selesai buat laporan polis.

“Kita turut menyiasat pemilik pusat perlindungan haiwan iaitu Society for the Prevention of Cruelty to Animals (SPCA) Penang dan mendapati kucing di dalam plastik itu sudah mati sebelum dibuang oleh pihak berkenaan atas alasan tidak mempunyai tempat pelupusan khas bagi penanaman atau pembakaran bangkai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Turut tular ialah laporan polis pengadu selepas mendakwa melihat pasangan suami isteri menaiki sebuah Perodua Myvi membawa kucing liar dipercayai bagi dilupuskan di situ.

Saira Banu berkata, pihaknya turut membuat pemeriksaan lanjut di dalam premis SPCA dan mendapati tiada bangkai kucing atau haiwan lain yang dijumpai.

Katanya, siasatan juga mendapati tiada unsur penganiayaan dan kezaliman ke atas kucing atau haiwan lain yang dikesan bagi siasatan lanjut.

Menurut Saira Banu, siasatan akan terus dijalankan oleh JPV Pulau Pinang bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Sabtu lalu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata laporan polis dibuat oleh lelaki warga tempatan berusia 49 tahun berhubung penemuan bangkai kucing itu.

Kes diklasifikasi sebagai rujuk lain agensi (RLA) kepada JPV Pulau Pinang bagi tindakan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini