comscore
Tumpuan :
Nasional

JPS Terengganu pasang pam bergerak atasi kesan musim kemarau

Pam bergerak dipasang JPS Terengganu untuk membantu operasi memadam kebakaran hutan tanah gambut selain menyalurkan air di kawasan pertanian yang terkesan akibat cuaca panas. – FOTO: Ihsan JPS Terengganu

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu bersedia menempatkan 14 pam bergerak untuk digunakan sepanjang musim kemarau.

Pengarahnya, Hanizan Deraman, berkata ia membabitkan 11 pam bergerak dengan kapasiti lima cusec (kaki padu sesaat) dan tiga lagi pam bergerak berkapasiti tiga cusec.

Beliau berkata, setakat ini, empat daripada 11 pam bergerak berkapasiti lima cusec serta satu daripada tiga pam bergerak berkapisiti tiga cusec sedang digunakan.

Katanya, pam bergerak itu digunakan untuk membantu operasi memadam kebakaran hutan tanah gambut selain menyalurkan air di kawasan pertanian yang terkesan akibat cuaca panas.

“Dalam keadaan kemarau sekarang, kita bersedia membantu memasang pam bergerak itu sekiranya ada permintaan untuk kebakaran-kebakaran kecil yang berlaku di tanah gambut akibat cuaca panas.

“Kita akan bagi aset untuk membantu dan kakitangan kita akan menyediakan sistem-sistem pam untuk kita cari punca air berhampiran sama ada dari sungai atau kolam takungan yang ada masuk ke parit untuk mengawal api di tanah gambut itu.

“Pam sama juga untuk membantu menyalurkan air di kawasan pertanian yang terkesan akibat cuaca panas,” katanya.

Hanizan berkata, pam itu kini ditempatkan di beberapa lokasi yang dikenal pasti berisiko seperti Dungun, Kuala Nerus serta Setiu dan ia akan dipasang berdasarkan permintaan semasa.

Katanya, pam bergerak mula dipasang di beberapa lokasi di seluruh Terengganu seperti Besut, Dungun, Setiu dan Kuala Nerus sejak 15 Mac lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini