Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] JPS ramal 11 kampung di Jerantut berisiko banjir

Paras sungai dekat Kampung Paya Garuk, Jerantut menunjukkan trend menaik pada Isnin (kiri) dan Situasi banjir di laluan utama dari Jerantut ke Kuala Tembeling berdekatan Sungai Kerak (kanan).

KUANTAN: 11 buah kampung di sekitar Jerantut berisiko banjir susulan ramalan peningkatan paras air Sungai Pahang.

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran banjir membabitkan Kampung Kuala Retang, Kampung Sepial, Kampung Tanjung Bungor, Kampung Kuala Tembeling, Kampung Bantal Seberang, Kampung Batu Balak, Kampung Keluang, Kampung Sungai Yap, Kampung Kuala Retang, Kampung Pasir Durian dan Kampung Doja.

Melalui kenyataan dikeluarkan, katanya banjir dijangka berlaku di 11 kampung terbabit susulan ramalan aras sungai hari ini serta status aras air sungai yang diramalkan menaik dan akan melebihi aras bahaya.

“Kawasan-kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer di sekitar Sungai Pahang di Jerantut diramalkan mengalami banjir,” katanya.

Sementara itu laman sesawang JPS melaporkan tiga sungai di Pahang melepasi paras bahaya masing-masing dua di Jerantut dan satu di Lipis.

Photo caption 2: Situasi banjir di laluan utama dari Jerantut ke Kuala Tembeling berdekatan Sungai Kerak.

Di Jerantut, ia membabitkan Sungai Pahang di Kuala Tembeling dan Sungai Pahang di Jerantut Feri dengan merekodkan bacaan 53.25 meter dan 49.11 meter, manakala Sungai Lipis di Benta dengan bacaan 75.89 meter.

Enam sungai pula melepasi paras amaran iaitu Sungai Jelai di Jeram Bungor, Lipis; Sungai Jelai di Jeti Lipis; Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh; Sungai Pahang di Waterfront dan Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang di Bera dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran.

Sejumlah 10 sungai pula melepas paras waspada.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini