comscore
Tumpuan :
Nasional

JPS keluar notis kesiapsiagaan banjir kilat di tiga negeri

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat di beberapa kawasan di Pulau Pinang, Perak dan Johor.

JPS menerusi kenyataan hari ini memaklumkan berdasarkan makluman ramalan hujan Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia), sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS) dan model ramalan banjir JPS, terdapat risiko banjir kilat di beberapa lokasi di negeri terbabit jika berlaku hujan lebat atau ribut petir yang signifikan.

Di Pulau Pinang, kawasan berisiko terjejas ialah Seberang Perai Utara (Butterworth, Mukim 1, Mukim 4 serta kawasan sekitar) manakala di Perak melibatkan Batang Padang (Bandar Tapah dan Batang Padang), Hilir Perak (Durian Sebatang) dan Perak Tengah (Bandar, Bota, Lambor Kanan, Pasir Panjang Hulu, Pasir Salak, Pulau Tiga serta kawasan sekitar).

Di Johor pula membabitkan Batu Pahat (Bandar Penggaram, Peserai, Simpang Kanan dan Simpang Kiri) serta Pontian (Benut dan kawasan sekitar).

“Notis kesiapsiagaan ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan yang berisiko untuk berwaspada dengan kemungkinan berlaku banjir kilat bagi tempoh tersebut,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut. – BERNAMA

Loading...
Terkini