comscore
Tumpuan :
Nasional

JPS harap dapat peruntukan baik pulih runtuhan penghadang ombak

Oleh: Aslina Abu Bakar

PETALING JAYA: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu berharap pihaknya mendapat peruntukan bagi kerja baik pulih runtuhan penghadang ombak berhampiran Jambatan Angkat atau Drawbridge di Kuala Terengganu.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Terengganu,  Hanizan Deraman

Pengarahnya, Hanizan Deraman ketika dihubungi Buletin TV3 berkata penelitian lebih terperinci perlu dilaksanakan sebelum melakukan kerja baik pulih memandangkan runtuhan itu berpunca daripada fenomena alam yang tidak dapat dijangka.

“Sekiranya, kami memperoleh peruntukan sama ada dari mana-mana pihak termasuk kerajaan pusat dan negeri, kerja-kerja penambahbaikan dapat dilaksanakan dengan segera.

Bagaimanapun, telah banyak peruntukan diberikan namun lebih tertumpu di lokasi pesisir pantai negeri ini yang terjejas akibat hakisan ombak,” katanya.

Jelasnya, runtuhan penghadang ombak di muara Sungai Terengganu itu kini dalam pemerhatian agensi-agensi yang berkaitan.

“Saya sudah berbincang dengan beberapa agensi yang terlibat dan akan mengambil tindakan susulan berkenaan permasalahan ini.

Banyak pihak terbabit dalam projek ini, bagaimanapun kami akan mencari jalan penyelesaian bersama untuk mengatasi masalah yang berkaitan, baik dari segi peruntukan untuk baik pulih ataupun kepakaran,” katanya.

Baru-baru ini, Buletin TV3 melaporkan runtuhan penghadang ombak berhampiran Jambatan Angkat atau Drawbridge yang belum dibaik pulih membahayakan keselamatan orang awam termasuk pelancong.

Runtuhan itu berlaku berpunca daripada fenomena air pasang besar pada akhir tahun lalu dan turut mengakibatkan runtuhan tanah di kawasan laluan pejalan kaki kira-kira sejauh 50 meter.

Loading...
Terkini