KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan segera menjalankan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) terutama di Johor, selaras arahan yang diberikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Pengarah JPS, Datuk Dr Md Nasir Md Noh berkata, pihaknya bercadang untuk menggunakan kaedah reka dan bina dalam projek RTB yang dilaksanakan nanti kerana ia disifatkan antara kaedah yang lebih cepat dan berkesan.
Katanya selain di Johor, JPS juga sedang mengenal pasti lokasi di negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak yang perlu dijalankan projek RTB dengan segera bagi mengurangkan impak kejadian banjir.
Ketika mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) kampung tengah di segamat semalam, Anwar memberi jaminan bahawa projek RTB terutamanya di Johor, akan disegerakan operasinya bermula Jun ini.
Katanya, proses tender projek tebatan banjir berkenaan harus disegerakan dan perlu beroperasi cepat memandangkan isu banjir di Johor terutamanya, merupakan sesuatu isu yang berulang.
Dalam pada itu, katanya, jps akan menempatkan antara 10 hingga 20 lagi pam bergerak di kawasan kritikal di Johor bagi mempercepatkan aliran air banjir, sebagai tambahan kepada sekitar 15 pam bergerak yang telah dipasang di beberapa kawasan di Batu Pahat, Pontian dan Tangkak.