ALOR SETAR: Orang ramai dinasihati supaya tidak mudah percaya dengan iklan jualan kawasan pembalakan dan kayu balak di media sosial.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Muhamad Abdullah berkata, ini berikutan pihaknya percaya iklan yang dipaparkan di media sosial berkenaan adalah penipuan dalam talian.
“Cara iklan ini seperti tidak betul, kemungkinan ‘scammer’, mereka hendak cari duit, apa pun kita akan semak dan siasat dulu mengenai perkara ini.
“Nasihat saya kepada orang ramai supaya jangan mudah percaya dan jangan terpengaruh, kalau nak kepastian sila rujuk dengan jabatan, kita sedia membantu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, tular di Facebook, iklan menjual balak yang berusia 40 tahun dan kawasan pembalakan di kawasan Gunung Inas, Baling.
Pihak terbabit memuat naik gambar kawasan pembalakan di gunung berkenaan, selain menyatakan harga jualan sebanyak RM15 juta untuk kawasan pembalakan berkeluasan 1,000 ekar atau 404 hektar.
Berikutan itu, orang ramai mendakwa berlaku salah laku dalam kegiatan penjualan kawasan pembalakan berkenaan sekali gus dibimbangi akan menyebabkan bencana berlaku ke atas penduduk.
Dalam kejadian 4 Julai 2022, bencana aliran puing dan banjir lumpur melanda Kampung Iboi serta kawasan sekitar Kupang mengakibatkan lebih 1,000 penduduk terjejas, 17 rumah musnah dan mengorbankan nyawa tiga mangsa.
Penduduk kemudian menggesa kerajaan negeri menutup ladang durian di Gunung Inas dan mengering serta memusnahkan tiga kolam takungan di puncak gunung, yang didakwa menjadi punca banjir, pencemaran sumber air dan banjir kilat.
Namun, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan, agensi di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli mengesahkan bahawa insiden banjir itu adalah bencana geologi dan bukan berpunca dari ladang durian berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.