DUNGUN: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan sebanyak 59,037 permohonan gantian kad pengenalan di seluruh negara dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, daripada jumlah itu sebanyak 55,504 akibat kecuaian.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Badrul Hisham Alias berkata, rekod lain ialah, kategori jenayah (2,575 permohonan) dan bencana seperti banjir, kebakaran dan kemalangan (958 permohonan).
Beliau berkata, sebanyak 289,172 permohonan diterima pihaknya pada 2023 dengan permohonan gantian akibat kecuaian merekodkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 270,068 permohonan diikuti kategori jenayah (14,220 permohonan) dan bencana (4,878 permohonan).
Katanya, Selangor merekodkan jumlah permohonan gantian kad tertinggi dalam tempoh Januari 2023 hingga Februari lalu membabitkan 54,809 permohonan diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (49,762 permohonan) dan Johor (43,342 permohonan).
“Permohonan akibat faktor kecuaian paling banyak diterima seperti tertinggal di atas motosikal, bagi kepada pengawal keselamatan dan lupa ambil serta kehilangan apabila berada di satu-satu tempat.
“Ia sepatutnya tidak berlaku tetapi itu realiti yang berlaku, jadi di peringkat JPN, sekiranya kehilangan kali pertama tidak memerlukan laporan polis tetapi bayaran RM100 tetap dikenakan manakala bayaran RM300 dikenakan untuk permohonan kali kedua berserta laporan polis.
“Bagi kehilangan kali ketiga, bayaran dikenakan bersama laporan polis selain siasatan akan dibuat pihak JPN bagi mengesan sekiranya ada unsur-unsur penjualan kad pengenalan dan sebagainya.
“Selain itu, golongan kurang upaya dan gelandangan turut menyumbang kepada permohonan akibat kehilangan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri Mangsa Banjir Kampung Pasir Raja, Dungun di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja di sini hari ini.
Pada program itu,seramai enam penduduk Kampung Pasir Raja dan Kampung Shukor yang terjejas akibat banjir menerima kad pengenalan baharu.Badrul Hisham berkata, JPN akan meneruskan program Mekar Diaspora di Amerika Syarikat pada Jun depan.
Beliau berkata, ia bagi memberi perkhidmatan dan nasihat berkaitan pembaharuan kad pengenalan, cabutan sijil lahir serta permohonan kewarganegaraan untuk rakyat Malaysia yang berada di luar negara.
Katanya, buat masa ini, pihaknya sudah pergi ke Jeddah pada Februari lalu dengan pemilihan lokasi dibuat berdasarkan jumlah rakyat Malaysia yang berada di luar negara.
“Sebenarnya ramai warga negara kita yang berada di luar negara memerlukan perkhidmatan kita , jadi atas inisiatif Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kita ke sana untuk urusan berkenan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.