NIBONG TEBAL: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang bertekad untuk memulihkan akhlak dan sahsiah sekumpulan pelajar yang terbabit dalam kegiatan vandalisme di sebuah sekolah di sini yang video perbuatan mereka tular menerusi media sosial, kelmarin.
Pengarahnya, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, semua pelajar terbabit memerlukan bimbingan dan kaunseling supaya mereka sedar serta faham apa yang mereka lakukan sekali gus tidak mengulanginya di masa hadapan.
“Umumnya, kita kesal atas apa berlaku dan kita telah mengadakan perjumpaan dengan waris serta pelajar berkenaan yang segala tindakan diambil adalah berdasarkan pekeliling yang kita ada.
“Berhubung hal ini, kita dalam proses mendidik dan kita akan laksanakan melalui kaunselor dan bimbingan untuk pemantapan sahsiah dan akhlak anak-anak terlibat.
“Kami percaya ada sebab tertentu dia (sekumpulan pelajar) buat begitu dan kita berazam untuk pulih balik keadaan supaya anak-anak ini sedar dan faham apa mereka buat dan saya harap mereka ini tidak mengulangi kesilapan sama,” katanya.
Abdul Rashid berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Hari Pertama Peperiksaan Bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jawi, di sini, hari ini.
Terdahulu tular di media sosial beberapa klip video berdurasi 28 dan 58 saat memaparkan sekumpulan pelajar lelaki merosakkan harta benda sekolah selepas tamat penggal akhir persekolahan pada Jumaat lalu.
Berdasarkan video itu, kumpulan pelajar yang dipercayai bersekolah di sebuah sekolah menengah di daerah Seberang Perai Selatan, di sini dilihat merosakkan peralatan sekolah seperti kerusi, kipas dan pintu tandas.
Ketika ditanya sama ada JPN negeri sudah menilai jumlah kerosakan yang dilakukan sekumpulan pelajar itu, Abdul Rashid hanya memaklumkan secara ringkas bahawa pertemuan bersama ibu bapa serta pelajar sudah diadakan bagi membincangkan perkara itu.
Dalam perkembangan lain, Abdul Rashid berkata, seramai 19,501 calon negeri ini menduduki SPM di 147 pusat peperiksaan yang bermula hari ini sehingga 15 Mac depan.
“Pada masa sama, kita juga menyediakan 15 pusat hospital sekiranya timbul keperluan calon menjawab peperiksaan di hospital kerana perlu menjalani rawatan.
“Ketika ini, terdapat seorang pelajar lelaki menjawab peperiksaan di Hospital Sungai Bakap (HSB) selepas dijangkiti Covid-19,” katanya.-BERITA HARIAN