comscore
Tumpuan :
Nasional

JPM masih siasat jumlah sebenar jemaah haji terkandas

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti bilangan sebenar jemaah Malaysia yang terkandas di Makkah kerana menggunakan visa pelancong bagi mengerjakan haji.

Timbalan Menterinya, Dr Zulkifli Hasan berkata, setakat ini, maklumat tepat mengenai jumlah jemaah itu masih belum diketahui.

“Buat masa ini, semua pihak berautoriti, jabatan ini bersama Lembaga Tabung Haji (TH) dan Konsulat Malaysia di Jeddah sedang buat siasatan dan kita akan umumkan nanti perkembangan terkini. Namun, kita doakan semua (jemaah terbabit) selamat pergi dan pulang.

“Bilangan sebenar (jemaah Malaysia yang terkandas) belum dapat disahkan. Kita akan dapatkan maklumat yang tepat,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Persidangan Wakaf Antarabangsa 2024(IWC24): Pemerkasaan Wakaf Dalam Kemapanan Ekonomi dan Pembangunan Ilmu di sebuah hotel di ibu negara di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Norazah Mohd Nordin; Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Datuk Selamat Paigo; Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Dr Ridzwan Bakar dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah.

Dr Zulkifli Hasan ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Persidangan Wakaf Antarabangsa 2024(IWC24): Pemerkasaan Wakaf Dalam Kemapanan Ekonomi dan Pembangunan Ilmu, di sini, hari ini.

Kelmarin, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata,, agensi itu akan bekerjasama dengan pihak Kedutaan Malaysia di Arab Saudi untuk membuat siasatan sewajarnya berhubung insiden berkenaan.

Beliau turut menggesa jemaah membuat aduan atau laporan rasmi kepada TH dan Kedutaan Malaysia di Jeddah,Arab Saudi dengan segera bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

Zulkifli ketika ditanya sama ada kesemua jemaah terbabit akan dibawa pulang, memaklumkan perkara itu masih belum dimuktamadkan.

“Perkara itu masih di peringkat perbincangan dan kita akan umumkan status terkini (nanti).

“Ini tanggungjawab bersama TH dan kementerian (JPM- Hal Ehwal Agama) untuk mengambil peranan dan tanggungjawab menjaga kebajikan semua jemaah,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kira-kira 300 bakal jemaah haji yang sudah berada di Makkah kini dalam kebingungan apabila agensi umrah yang menguruskan perjalanan mereka gagal menunaikan janji untuk mendapatkan kebenaran mengerjakan haji pada musim ini.

Bakal haji terbabit menyedari diperdaya selepas mendapati pakej haji yang murah ditawarkan agensi terbabit, menggunakan visa pelancong bagi menunaikan ibadat itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini