Tumpuan :
Nasional

JPM (Hal Ehwal Agama) gerakkan bantuan untuk mangsa banjir

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengambil langkah proaktif dalam membantu mangsa banjir yang terjejas di beberapa negeri melalui pelbagai inisiatif bantuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya prihatin terhadap musibah yang menimpa rakyat dan komited untuk meringankan beban mereka.

“Sebagai respons kepada arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar semua menteri turun padang ke kawasan bencana, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menggerakkan Pasukan Sukarelawan Al-Falah MADANI.

“Pasukan ini, yang terdiri daripada agensi-agensi hal ehwal Islam, bertanggungjawab melaksanakan program khidmat bantuan pasca banjir kepada masyarakat yang terjejas,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Pasukan Sukarelawan Al-Falah MADANI diselaraskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Ia turut bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pihak berkuasa lain dalam pengurusan bencana.

Datuk Mohd Na’im turut menyeru orang ramai agar bersama-sama bersolidariti dalam membantu mangsa banjir.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan bantuan melalui Tabung Musa’adah Musibah Banjir, yang diuruskan oleh JAKIM dan Yayasan Wakaf Malaysia, ke akaun CIMB Bank: 86-0221818-6.

Beliau turut mendoakan agar mangsa banjir terus tabah menghadapi ujian dan berharap usaha bantuan dapat memberikan kelegaan kepada mereka yang memerlukan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini