comscore
Tumpuan :
Nasional

JPJ Terengganu tahan bas sekolah bawa rombongan pengantin

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menahan sebuah bas sekolah yang dijadikan bas persiaran untuk membawa rombongan pengantin.

Pengarahnya, Mohd Zamri Samion berkata, bas dari Kedah yang membawa 40 penumpang itu dikesan melakukan kesalahan kerana menyalah guna permit.

“Untuk bas sekolah, bila permit bas sekolah, kita ambil maklum keadaan semasa kenderaan itu sendiri dengan lingkungan dan jarak sepatutnya 30 kilometer sahaja dan prasyarat permit membawa murid sekolah sahaja dan dalam konteks hari ini bas tersebut membawa keluarga yang sangat besar dari Kedah ke Terengganu.

“Kenderaan itu sangat berisiko sebab ia tak mampu dibawa dalam perjalanan jauh dan sebagaimana dimaklum oleh Motac syarikat ini akan didakwa,” katanya kepada media.

Beliau ditemui pada Ops Bersepadu Bersama Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Terengganu dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Terengganu di Kuala Terengganu, pagi tadi.

Sebanyak 11 kenderaan perkhidmatan awam turut diperiksa dengan empat saman telah dikeluarkan dalam operasi berkenaan.

Antara kesalahan yang dilakukan adalah tiada pemandu kedua (2) kes, tiada pemandu pelancong (1) kes dan salah guna permit perlancongan (1) kes.

12  kesalahan teknikal juga dikesan iaitu  pemadam api luput tarikh, tiada peti pertolongan cemas dan membawa aksesori merbahaya.

Tambahnya sehingga Mei tahun ini pihak JPJ Terengganu telah memeriksa 1,349 kenderaan perkhidmatan awam dan 44 daripadanya telah diambil tindakan kerana pelbagai kesalahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini