Tumpuan :
Nasional

JPJ tahan lelaki guna plat palsu, tiada lesen memandu

Pengarah JPJ Perlis, Noraini Mohd Nawi menunjukkan sebuah motosikal yang ditahan menggunakan plat pendaftaran palsu pada penutup Ops Tahun Baru Cina (TBC) 2025 di bulatan Kangar. FOTO: NSTP

KANGAR: Cubaan seorang penunggang motosikal meloloskan diri daripada sekatan jalan raya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Bulatan Kangar dengan memasuki ‘laluan tikus’ berhampiran kawasan perumahan berdekatan gagal apabila ditahan.

Dalam penahanan itu, apa yang mengejutkan anggota JPJ yang bertugas, lelaki berusia dalam 30-an didapati bukan saja tidak memiliki lesen memandu yang sah, malah cukai jalan sudah tamat tempoh lebih lima tahun selain lelaki itu juga didapati menunggang motosikal menggunakan plat pendaftaran palsu.

Pengarah JPJ Perlis, Noraini Mohd Nawi berkata, kejadian berkenaan dikesan pada penutup Ops Tahun Baru Cina (TBC) 2025 yang dijalankan secara besar-besaran di setiap laluan masuk dan keluar bandar Kangar di Bulatan Kangar, semalam.

“Dalam operasi ini, kita mengesan sebuah motosikal jenis Modenas Dinamik berwarna kuning yang dinaiki oleh seorang lelaki yang mana cukai jalannya sudah tamat melebihi lima tahun selain tidak mempunyai lesen memandu.

“Malah, apa yang mengejutkan adalah suspek juga didapati menunggang motosikal menggunakan plat pendaftaran palsu yang mana nombor pendaftaran motosikal itu sebenarnya didaftarkan kepada sebuah lagi motosikal dan kita percaya dalam hal ini, suspek ini akan sering mencari jalan untuk melepaskan dirinya apabila terdapat sekatan jalan raya (SJR) selama ini.

“Setakat ini, rekod kita belum lagi mengesan bahawa motosikal itu dicuri atau hilang namun kita masih lagi menyiasat sama ada motosikal itu ada dikehendaki atau digunakan untuk tujuan jenayah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan operasi Ops TBC 2025 di SJR sekitar Bulatan Kangar, semalam.

Katanya, motosikal itu kemudian disita manakala suspek itu menjalani saringan air kencing bagi menentukan sama ada dia berada dalam pengaruh dadah atau tidak.

Noraini berkata, sepanjang Ops TBC yang dilaksanakan bermula 20 Januari lalu hingga semalam menunjukkan penurunan dari segi jumlah notis tindakan terhadap pengguna jalan raya.

“Kita boleh katakan operasi pada Ops TBC kali ini menunjukkan penurunan dari segi pengeluaran notis tindakan yang diberikan terhadap pengguna jalan raya berbanding tahun lalu yang mana tahun ini, sebanyak 2,757 notis ambil tindakan dikeluarkan oleh kita terhadap pengguna jalan raya yang didapati melakukan kesalahan trafik berbanding tahun lalu sebanyak 3,755 notis.

“Namun, selaras dengan pertambahan kenderaan di jalan raya, kita sudah memeriksa sebanyak 24,303 pelbagai kenderaan pada Ops TBC pada tahun ini berbanding 19,513 pada tahun lalu yang mana jumlah pengguna jalan raya yang dikesan positif dadah masih sama antara kedua-dua tahun ini ,” katanya.

Selain itu, Noraini berkata, Ops TBC pada kali ini juga turut memfokuskan pemeriksaan bas ekspres di terminal bas di sekitar Kangar dimana 357 buah bas ekspres diperiksa.

“Dua buah bas dikenakan tindakan iaitu kesalahan (bunga) ‘tayar botak’ serta masalah teknikal yang lain termasuklah cermin retak.

“Dalam masa yang sama juga, seramai 30 orang pemandu bas menjalani ujian saringan air kencing dan terdapat salah seorang daripada mereka yang didapati berada di bawah pengaruh dadah apabila ujian air kencingnya didapati positif,” katanya.

Terdahulu, Noraini meluangkan masa hampir 30 minit meninjau perjalanan Ops TBC yang dijalankan di sekitar Bulatan Kangar yang turut disertai polis dan Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini