![](https://media.buletintv3.my/2025/02/JPJ.jpg)
KUALA TERENGGANU: Kereta milik pengusaha bengkel membaiki kenderaan disita pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu selepas disyaki adalah kereta klon.
Pengarahnya, Zamri Samion berkata, kenderaan model Honda itu disita selepas pemeriksaan mendapati nombor casis kenderaan terbabit mencurigakan.
“JPJ dapati ada kesan gangguan pada nombor casis dan kita mengesyaki sesuatu mencurigakan.
“Kami belum pasti sama ada kereta ini kereta klon atau sebaliknya. Namun JPJ akan hantar ke Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut.
![](https://media.buletintv3.my/2025/02/JPJ-1.jpg)
“Bagaimanapun melihat pada fizikal kereta, ada kemungkinan besar ia adalah kereta klon,” katanya tadi.
Zamri berkata, kereta itu ditahan ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Sultan Mohamad, di sini, beberapa hari lalu.
Ketika ditahan katanya, kenderaan terbabit dipandu seorang lelaki yang mendakwa pengusaha bengkel membaiki dan mengecat kereta di Kampung Gelugor Kedai, di sini.
Katanya, lelaki berusia lingkungan 40-an itu mendakwa pemilik kenderaan berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.