Tumpuan :
Nasional

JPJ sita 73 motosikal terlibat pengubahsuaian kenderaan haram

FOTO: Ihsan JPJ

KUALA LUMPUR: Sejumlah 73 motosikal disita kerana didapati diubah suai secara ekstrem dalam Operasi Sepadu Motosikal di sekitar ibu negara semalam dan di Plaza Tol Gombak, di sini awal pagi hari ini.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur dalam kenyataan berkata, sebanyak 4,545 kenderaan diperiksa manakala 1,353 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi yang bermula 3 petang hingga tengah malam itu.

“Operasi ini memfokuskan kepada pengubahsuaian ekstrem pada motosikal yang boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

“Antara kesalahan dikesan ubah suai casis sehingga menjejaskan kestabilan dan keselamatan.
“Selain itu, penggunaan ekzos aftermarket yang menghasilkan bunyi terlalu kuat melebihi had dibenarkan dan penggunaan tayar bersaiz terlalu kecil,”kata kenyataan itu semalam.

Dalam kenyataan sama, JPJ Kuala Lumpur berkata, pihaknya turut menjalankan advokasi berhubung keselamatan topi keledar dan mengedarkan topi keledar mempunyai perakuan Institut Piawaian dan Penyelidikan (SIRIM).

Katanya, operasi itu dijalankan bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Dalam operasi sama, 19 warga asing disyaki pendatang asing tanpa izin (Pati) terdiri daripada sembilan warga Indonesia, Bangladesh (3), India (4) dan lain-lain ditahan dalam operasi itu.

Katanya, pihak AADK membuat saringan air kencing ke atas 141 individu dan menahan 16 individu yang didapati positif penggunaan dadah.

Sementara itu, pihak JSPT mengeluarkan 134 saman membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini