MELAKA: Kertas siasatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke atas syarikat lori yang dipercayai menjadi punca dalam kemalangan tragis membabitkan lima kenderaan di Kilometer (KM) 204, lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara pada Disember lalu telah lengkap untuk tindakan selanjutnya.
Menurut pengarahnya, Muhammad Firdaus Shariff, kertas siasatan syarikat lori dari Johor itu telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya awal minggu ini.
“Pengusaha syarikat terbabit juga telah dipanggil untuk membantu siasatan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010,” katanya.
Muhammad Firdaus ditemui malam tadi pada Operasi Bersepadu Khas bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Pada 23 Disember lalu, tujuh termasuk lima sekeluarga maut manakala 33 cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) .
Siasatan awal mendapati bas persiaran itu terlanggar tayar lori yang tercabut di lorong tengah dan menyebabkannya hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan tiga kenderaan.
Mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu dan empat penumpang MPV serta pemandu dan penumpang bas berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.