MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri mengesan empat laluan tikus yang sering digunakan pemandu kenderaan berat dengan membawa lebih muatan bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, empat laluan terbabit dipercayai menjadi alternatif kepada pemandu kenderaan itu untuk menghantar bekalan yang dibawa keluar dari negeri ini.
“Bagi daerah Jasin, laluan yang kita kenal pasti ialah di Chohong, Lipat Kajang dan Chabau manakala di daerah Alor Gajah pula di Simpang Ampat. Laluan ini menjadi ‘hot spot’ untuk kita membuat operasi.
“Ini adalah jalan kampung dan boleh dikatakan jalan tikus untuk lori lebih muatan ini menggunakannya untuk keluar dari Melaka,” katanya pada sidang media di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Rembia, di sini hari ini.
Beliau berkata, bagi mengelak perjalanan mereka dihidu pihak berkuasa juga, kebanyakan lori membawa lebih muatan itu akan bergerak keluar pada waktu malam.
“Selalunya operasi di kawasan ini dibuat pada waktu malam kerana pada sebelah siang jarang kita kesan kenderaan berat yang membawa muatan lebih kebiasaannya muatan dibawa oleh lori itu adalah silika, tanah, batu dan barang pembinaan.
“Berdasarkan rekod Ops Hari Raya Aidiladha (HRAA) yang berakhir pada 30 Jun lalu, kita mengeluarkan sebanyak 123 Notis Arah Timbang dan 24 Notis Lebih Muatan di bawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta 28 Notis Arah Timbang JPJ,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Firdaus berkata, selain kenderaan membawa muatan lebih, pihaknya turut memfokuskan kesalahan bagi pemandu warga asing (PeWA) kerana merekodkan kesalahan berulang.
“Hal ini berlaku kerana kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat tempatan yang bagi kebenaran kepada warga asing menggunakan kenderaan milik mereka.
“Apabila kenderaan digunakan warga asing ini disita dalam operasi atau ketika pemeriksaan kita terpaksa melepaskan kembali kepada pemiliknya yang juga warga negara,” katanya.
Katanya, berdasarkan data Ops HRAA baru-baru ini, sebanyak 68 kesalahan dikesan dan daripada jumlah itu 45 membabitkan penggunaan motosikal.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa