Tumpuan :
Nasional

JPJ Melaka kesan 25 kesalahan pelajar bermotosikal

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka merekodkan 25 kesalahan lalu lintas dilakukan pelajar bermotosikal dalam advokasi keselamatan jalan raya di Kandang di sini hari ini.

Dalam program selama lebih dua jam bermula 8.45 pagi itu, lapan daripada kesalahan yang dilakukan pelajar terbabit ialah tidak memasang tanda P dan L pada kenderaan masing-masing.

Pengarah JPJ negeri, Muhammad Firdaus Shariff berkata, ia diikuti kesalahan tidak memiliki lesen, cukai jalan dan insurans iaitu masing-masing empat kesalahan.

“Kesalahan-kesalahan lain melibatkan teknikal seperti nombor pendaftaran tidak mengikuti spesifikasi yang ditetapkan dan ubah suai ekzos iaitu masing-masing tiga dan dua kesalahan.

“Kita juga mengesan kesalahan tidak menutup rantai dan tiada cermin sisi pada motosikal mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Firdaus, pihaknya bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang saman sebaliknya memberi amaran keras kepada pelajar yang melakukan kesalahan.

“Namun kita akan mengambil tindakan undang-undang jika kita dapati pelajar yang sama mengulangi kesalahan yang dilakukan,” tegasnya.

“Agenda keselamatan jalan raya akan sentiasa diperhebat bagi menyemai tabiat menunggang yang baik sekali gus meningkatkan tahap pengetahuan pelajar dalam soal keselamatan jalan raya serta sentiasa memastikan mereka memiliki lesen memandu dan cukai jalan yang sah.

“Pematuhan kepada aspek keselamatan sebagai pengguna jalan raya perlu dilaksanakan dalam kalangan pelajar sekolah bagi membudayakan keselamatan jalan raya.” katanya.

Program itu juga tambahnya, bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa pelajar terhadap kepentingan mematuhi undang-undang lalu lintas demi keselamatan anak-anak mereka

Dalam program advokasi yang melibatkan sembilan pegawai dan anggota JPJ itu, ujarnya sebanyak 43 motosikal pelajar diperiksa.

Program itu tambahnya, diadakan dengan kerjasama Unit Keselamatan Jalan Raya dan Unit Operasi JPJ bersama Kadet JPJ Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Bendahara.

Loading...
Terkini