comscore
Tumpuan :
Nasional

JPJ Melaka keluarkan 231 saman dalam Ops Khas Ambang Tahun Baharu 2023

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Sebanyak 231 saman dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka terhadap pengguna kenderaan atas pelbagai kesalahan lalu lintas pada Ops Khas Ambang Tahun Baharu 2023 di Klebang di sini petang tadi.

Dalam operasi selama lima jam bermula 2 petang itu, penunggang motosikal paling banyak dikenakan tindakan iaitu 191 notis saman dikeluarkan.

Pengarah JPJ negeri, Muhammad Firdaus Shariff berkata, daripada jumlah notis saman itu, 75 daripadanya dikesan tidak memiliki lesen yang sah, tiada cukai jalan dan perlindungan insurans.

“Daripada jumlah itu juga sebuah motosikal disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Sebanyak enam notis larangan penggunaan kenderaan dan 25 notis arah periksa telah dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Firdaus, dalam operasi yang berakhir pada jam 7 malam itu, sebanyak 250 kenderaan melibatkan motosikal, kereta, lori dan bas pesiaran diperiksa serta 109 kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

Katanya, seramai 30 orang anggota penguat kuasa JPJ, lapan anggota dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 10 anggota dari Jabatan Imigresen negeri terlibat dalam operasi berkenaan.

“Selain penguatkuasaan, anggota dari Unit Keselamatan Jalan Raya Negeri Melaka turut memberikan advokasi keselamatan jalan raya kepada penunggang motosikal yang melalui sekatan jalan raya di kawasan itu.

“Operasi besar-besaran ini menumpukan pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, cermin gelap, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi serta ubah suai kenderaan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan dalam APJ 1987 dan kaedah-kaedah dibawahnya serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” jelasnya.

Tegas beliau, pihaknya akan terus menumpukan kepada tujuh kesalahan utama yang sering dilakukan pengguna jalan raya bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negeri berkenaan.

“Selain itu juga, masyarakat diseru supaya lebih peka terhadap pentingnya mengikut peraturan jalan raya dan mengubah tatacara pemanduan yang lebih selamat dan berhemah serta berdisiplin bagi memastikan jalan raya di negara ini selamat digunakan,” tambahnya.

Loading...
Terkini