TUMPAT: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Kelantan mengeluarkan 14 notis kesalahan terhadap kenderaan perdagangan yang membawa lebih muatan di daerah ini.
Operasi khas itu dijalankan di Kampung Geting, di sini, semalam hasil aduan orang ramai yang meluahkan rasa gusar dengan keselamatan pengguna jalan raya lain.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, sebanyak 40 kenderaan diperiksa dan 15 daripadanya diambil tindakan.
“Sebanyak 14 kes lebih muatan dikesan yang mana kesalahan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 57(1)(b)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM5,000 sehingga RM500,000.
“Satu notis juga dikeluarkan terhadap sebuah lori mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan LKM tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Mohd Misuari berkata, dalam operasi itu juga, secara keseluruhan, sebanyak 60 notis dikeluarkan kepada pemandu dan pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan di bawah APJ 1987, APAD 2010 dan Kaedah-kaedah di bawahnya.
Beliau berkata, kesalahan yang dikesan semasa operasi itu adalah tiada lesen memandu, tiada lesen memandu vokasional (barangan), lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada perlindungan insuran, lebih muatan, tidak menutup muatan, disk puspakom tamat tempoh dan lain-lain kes teknikal.
“Penguatkuasaan berterusan dari pihak kami diharap dapat membuka mata pengguna jalan raya untuk mematuhi peraturan dan undang-undang bagi memastikan jalan raya selamat digunakan oleh semua,” katanya.