Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Operasi Khas Motosikal Tahun 2024 selama dua bulan mulai hari ini hingga 31 Disember depan di seluruh negara.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pelaksanaan operasi berkenaan adalah susulan daripada statistik yang membimbangkan dengan peningkatan trend kadar kemalangan dengan kematian secara bulanan membabitkan motosikal.
Menurutnya, berdasarkan rekod pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 1,908 kes atau 70 peratus kadar kemalangan dengan kematian secara bulanan dilaporkan.
Justeru, Aedy Fadly menyatakan, operasi itu dilaksanakan terhadap penunggang dan pemilik motosikal bagi pematuhan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah – Kaedah di bawahnya.
“Bagi mensasarkan pengurangan jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya bagi tempoh suku ketiga dan keempat tahun ini, strategi penguatkuasaan secara berfokus ini adalah untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap penunggang dan pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan-peraturan yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak JPJ akan memfokuskan kepada lapan kesalahan utama dalam usaha mencapai objektif keseluruhan operasi ke arah meminimumkan kadar kemalangan dan kematian.
Kesalahan itu adalah tiada lesen memandu, tiada atau tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM), tiada perlindungan insurans dan melanggar isyarat lalu lintas (lampu merah).
Kesalahan lain termasuk ubah suai kenderaan (extreme), tidak memakai topi keledar, lumba haram dan kesalahan lain (teknikal).
Sehubungan itu, JPJ memohon kerjasama khususnya penunggang dan pembonceng motosikal untuk sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya dan bertoleransi bersama pengguna jalan raya yang lain demi keutamaan keselamatan ketika di jalan raya.
“Usaha ini juga adalah untuk meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya di negara selaras dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM),” katanya.
Beliau turut menyeru orang awam untuk melaporkan aduan secara terus menerusi aplikasi MyJPJ : e-Aduan@JPJ atau e-mel ke [email protected] berserta butiran lengkap aduan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.