Tumpuan :
Nasional

JPJ, KPDN akan bincang penyelesaian isu ‘ejen kosmetik’ pemeriksaan PUSPAKOM

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan (tengah) dan Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan (kanan) ketika melakukan pemeriksaan kenderaan berat ketika Ops Mengejut Puspakom 30 Disember lalu.

KUALA LUMPUR: Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bertemu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) minggu depan untuk membincangkan isu perkhidmatan ‘ejen kosmetik’ yang menyediakan khidmat kepada kenderaan berat, termasuk ‘sewa tayar’.

Perbincangan tersebut dijangka meneliti bidang kuasa kedua-dua agensi bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil bersama terhadap kegiatan itu.

Ketua Pengarah Penguatkuasaan KPDN, Datuk Azman Adam, mengesahkan pertemuan dengan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, yang menghubunginya semalam.

“Buat masa ini, biar kami berbincang dahulu dengan JPJ sebelum memberi sebarang kenyataan. Perbincangan dijadualkan minggu depan, dan hasilnya akan dimaklumkan selepas itu. Fokus kami adalah meneliti bidang kuasa secara terperinci,” katanya memetik laporan BH Online.

Media sebelum ini melaporkan kewujudan perkhidmatan ‘ejen kosmetik’ yang menawarkan tayar sewa untuk kenderaan berat semata-mata bagi mendapatkan kelulusan pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly, memaklumkan tindakan tersebut adalah satu penipuan berbahaya kerana kenderaan menggunakan tayar sewa yang elok hanya ketika pemeriksaan, sedangkan tayar asal tidak berada dalam keadaan baik.

Bagaimanapun, JPJ tidak mempunyai kuasa untuk memasuki premis yang menawarkan khidmat itu. Oleh itu, pihaknya akan bekerjasama dengan KPDN untuk merangka tindakan lanjut bagi menangani isu berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini