Tumpuan :
Nasional

JPJ kesan individu miliki 40 motosikal disyaki ‘untuk disewa’

FOTO: NSTP

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri mengesan seorang individu tempatan yang disyaki menjalankan kegiatan sewaan kenderaan kepada warga asing.

Ia berikutan individu terbabit dipercayai mempunyai 40 motosikal pada satu masa dan didakwa menyewakan kenderaan itu kepada warga asing antara RM350 dan RM500 sebulan.

Pengarah JPJ Terengganu Zulkarnain Yassin berkata, hasil semakan mendapati semua motosikal itu didaftarkan atas nama individu berkenaan.

Menurutnya, kegiatan itu dikesan melalui Operasi Pemandu Warga Asing (Ops Pewa) selama dua hari bermula semalam selepas warga asing yang ditahan mendakwa menyewa motosikal daripada individu berkenaan.

“Kita masih menyiasat termasuk mengesan individu itu untuk diambil keterangan kerana melakukan pelbagai kesalahan.

“Dalam Ops Pewa , sebanyak 66 motosikal dan 13 kereta dipandu warga asing disita atas pelbagai kesalahan,” katanya yang ditemui media hari ini.

Ops Pewa turut disertai 50 pegawai dan anggota penguatkuasa JPJ dan 20 anggota Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Imigresen negeri.

Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, sebanyak 567 kenderaan dinaiki warga asing diperiksa dalam operasi yang berakhir hari ini, dengan 80 kenderaan diambil tindakan, manakala 284 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan.

Menurutnya, seramai 116 warga Myanmar, Bangladesh (16), Pakistan (dua), Kemboja (satu) dan tiga (Indonesia) diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

“Dalam operasi,  kita turut merampas dua motosikal yang dilaporkan hilang dinaiki warga asing berkenaan,” katanya.

Loading...
Terkini