Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
SEREMBAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 5,306 notis kesalahan terhadap kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam sepanjang Operasi Khas Gempur Teknikal selama lima hari bermula 25 Disember.
Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan, berkata notis melibatkan penahanan kenderaan, arahan pemeriksaan, dan siasatan lanjut susulan pemeriksaan terhadap 17,729 kenderaan.
“Sebanyak 1,787 kenderaan diambil tindakan, termasuk 16 kenderaan yang disita, 15 kenderaan perdagangan dan satu kenderaan perkhidmatan awam,” katanya selepas operasi di Hentian R&R Seremban arah Selatan hari ini.
Beliau menjelaskan, kesalahan utama melibatkan penggunaan tayar celup, yang lapisan luarnya hampir tercabut, selain isu brek yang tidak sempurna. Tindakan seperti menahan kenderaan daripada meneruskan perjalanan diambil untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
JPJ turut mengerahkan lebih 1,500 anggota di seluruh negara bagi operasi penguatkuasaan, dengan fokus kepada kesalahan teknikal, lebih muatan, dokumentasi, dan lalu lintas terutama sepanjang musim perayaan.
Beliau turut menasihati pemandu kenderaan berat agar meletakkan kon atau halangan jika terpaksa berhenti di laluan kecemasan bagi mengelakkan kemalangan.
“Beberapa kemalangan berlaku kerana lori berhenti tanpa meletakkan kon amaran. Saya harap semua pihak lebih peka terhadap peraturan jalan raya,” tambahnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.