![](https://media.buletintv3.my/2025/02/LOGO-JPJ.jpg)
KUALA LUMPUR: Kesalahan berkaitan pelesenan kenderaan, pelesenan pemandu dan teknikal antara kesalahan tertinggi yang direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Operasi Khas Tahun Baharu Cina, bermula 20 Januari lalu hingga hari ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sepanjang tempoh itu pihaknya mengeluarkan notis sebanyak 107,014 notis atas pelbagai kesalahan ke atas pemandu hasil pemeriksaan sebanyak 429,423 kenderaan di seluruh negara.
Katanya, selain itu sebanyak 724 kenderaan disita atas pelbagai kesalahan antaranya tidak mempunyai insurans dan cukai jalan serta kenderaan yang dipandu warga asing tanpa lesen yang sah.
“Notis JPJ(P)22 dikeluarkan atas kesalahan seperti berkaitan pelesenan kenderaan iaitu Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans sebanyak 29,994; pelesenan pemandu iaitu tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh (20,414) dan teknikal iaitu brek dan tayar botak (15,610).
“Selain itu, lain-lain kesalahan sebanyak notis 9,052 dikeluarkan, kesalahan berkaitan kesalahan utama (3,994), kesalahan kenderaan barangan (3,161).
“Bagi kesalahan kenderaan perkhidmatan awam (bas) sebanyak 241 notis dikeluarkan dan gagal patuhi larangan pemanduan kenderaan barangan pula 140 notis,” katanya pada sidang media operasi terbabit yang berakhir malam ini di Plaza Tol Sungai Besi, di sini, hari ini.
Operasi bersepadu berkenaan turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan PLUS Malaysia.
Mengulas lanjut, Aedy berkata, kesalahan teknikal seperti tayar dan brek menjadi kesalahan yang kerap dalam setiap operasi dan pihaknya mengingatkan semua pengguna dan pemilik kenderaan atau pemilik syarikat kenderaan sentiasa memeriksa kenderaan mereka.
Katanya, sepanjang operasi itu juga penguatkuasaan Larangan Pemanduan Ke Atas Kenderaan Barangan juga dikuatkuasakan selama empat hari iaitu pada 27 Januari lalu (sebelum perayaan) serta pada 1 dan 2 Februari lalu (selepas perayaan).
“JPJ mengesan kenderaan barangan gagal mematuhi larangan berkenaan dan 140 notis dikeluarkan serta 21 kenderaan ditahan mengikut Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Aedy berkata, Operasi Khas Tahun Baru Cina tahun ini juga menunjukkan penurunan pengeluaran notis saman atas pelbagai kesalahan iaitu sebanyak 107,014 notis berbanding tahun sebelumnya 207,127 notis.
“Statistik itu menunjukkan terdapat peningkatan tahap dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya melalui kaedah penguatkuasaan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.