ALOR SETAR: Taktik pemandu lori yang bergerak awal pagi untuk mengelak dikesan pihak berkuasa terbongkar dalam operasi khas yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah awal pagi tadi.
Dalam operasi yang dijalankan di Jalan Naka, Pokok Sena, sebanyak 10 lori yang membawa muatan kayu getah berlebihan disita.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Stien Van Lutam, berkata, siasatan mendapati kebanyakan pemandu lori terbabit mempunyai pelbagai kesalahan dan kebiasaannya keluar pada waktu malam bagi mengelak disaman JPJ.
Katanya, antara kesalahan dikesan ialah tidak mempunyai lesen, cukai jalan tamat tempoh, tiada insurans, kenderaan tidak diselenggara dengan baik, ubah suai kenderaan, penyenyap bunyi, tayar dan tiada mud flap.
“Sebanyak 118 saman dan 38 notis arah periksa dikeluarkan dalam operasi ini manakala 10 lori disita. Mereka dikesan bergerak pada tengah malam dan awal pagi untuk mengelak disaman kerana menjangkakan ketika itu tiada penguatkuasaan dilakukan JPJ.
“JPJ melakukan rondaan tanpa mengira waktu untuk memastikan kenderaan mengikut peraturan ditetapkan,” katanya.
Tambahnya, JPJ Kedah akan meneruskan operasi sedemikian dan fokus tertumpu kepada kenderaan berat susulan peningkatan kes kemalangan membabitkan kumpulan itu.
Operasi bermula jam 12 tengah malam itu berakhir pada jam 7 pagi tadi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.