Tumpuan :
Nasional

JPJ ganti kamera AwAS berteknologi terkini secara berfasa

PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang melaksanakan penggantian kamera Automated Awareness Safety System (AwAS) dengan penambahbaikan teknologi terkini secara berfasa di lokasi-lokasi yang telah diwartakan.

Menurut Ketua Pengarahnya, Aedy Fadly Ramli dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, penggantian itu juga bagi menukarkan model kamera sebelum ini yang mengalami kerosakan major.

“Penggantian kamera AwAS ini adalah selaras dengan penambahbaikan sistem sedia ada selari dengan perubatan teknologi terkini yang menggunakan teknologi Automated Number Plate Recognition (ANPR) bagi memastikan kamera tersebut beroperasi dengan lebih baik.

“Penggantian ini melibatkan kamera model Redflex yang perlu ditukar atas faktor kerosakan major dan tidak mendapat sokongan daripada pihak prinsipal,” jelasnya.

Tambahnya, pengoperasian kamera itu adalah untuk memastikan penguatkuasaan yang melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju dan gagal mematuhi lampu isyarat.

Ia berdasarkan peruntukan dibawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) selaras untuk mengurangkan statistik kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.

JPJ tambahnya lagi, turut menyeru dan memohon kerjasama semua pengguna jalan raya mengambil langkah mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

Serta bertoleransi dengan pengguna jalan raya yang lain demi keutamaan keselamatan diri dan keluarga ketika di jalan raya.

JPJ tegasnya lagi, sentiasa komited dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini