KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang dalam proses perancangan perolehan kamera badan bagi penggunaan anggota di lapangan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, buat masa kini pihaknya sedang mengusahakan dari segi peruntukan sebelum surat tawaran kepada syarikat berkaitan diberikan menjelang Ogos nanti.
“Kita dalam proses perancangan perolehan dan sekarang ini tengah usahakan dari segi peruntukan kemudian akan buat perolehan sebelum dijangka dapat dikeluarkan surat tawaran kepada syarikat yang terpilih dalam bulan lapan atau sembilan.
“Proses itu sedang berjalan dan akan mengambil masa kerana tidak semua unit dapat kita peroleh sebab kekangan kewangan yang perlu dilihat memandangkan ada banyak projek kita terpaksa laksanakan dan ini salah satu,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, sebaik penguatkuasaan kamera badan itu nanti, akan ada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dari segi penggunaannya.
Katanya lagi, peraturan itu sedang dibangunkan oleh bahagian penguatkuasa dan akan dikenakan kepada pegawai dan anggota ketika bertugas di lapangan.
Media sebelum ini melaporkan JPJ akan memperkenalkan penggunaan kamera badan untuk anggota bagi meningkatkan ketelusan penguatkuasaan.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, penggunaan kamera badan bagi anggota JPJ di lapangan akan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan khususnya membabitkan kenderaan berat.
Terdahulu, Aedy Fadly hadir di JPJ Kelantan di sini, sempena Perhimpunan Setia Khas JPJ Negeri Kelantan dan turut menyampaikan sijil penghargaan kepada tujuh pengamal media.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi dan Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.