comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] JPJ ambil maklum video tular pertengkaran pemandu bas & tiga individu

Tangkap layar video tular

KUALA LUMPUR: Satu video tular sejak kelmarin, memaparkan seorang pemandu bas ekspres bertengkar dengan beberapa individu yang dipercayai anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berpakaian preman.

Difahamkan kejadian itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari, di Lebuhraya Kuala Lumpur – Seremban selepas jejantas susur keluar ke Nilai menghala ke ibu kota.

Selain rakaman video dan foto, turut tular salinan laporan polis oleh pemandu bas ekspres terbabit.

Ketika kejadian bas itu dalam perjalanan dari Muar, Johor ke Teminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini.

Pemandu bas berusia 51 tahun itu dalam aduannya mendakwa dia diarahkan memberhentikan basnya di tepi jalan oleh tiga individu menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Fortuner hitam.

Setelah berhenti, salah seorang individu memperkenalkan diri sebagai anggota JPJ dan menunjukkan lambang integriti JPJ selain memaklumkan mahu melakukan pemeriksaan.

Salah seorang daripada indiividu terbabit turut memaklumkan mereka sedang melakukan penyamaran dan perkara itu menimbulkan rasa was-was pemandu bas terbabit yang meragui kesahihan bahawa ketiga-tiga individu terbabit adalah anggota JPJ.

Pemandu bas itu turut mempertikaikan tindakan individu berkenaan yang mahu melakukan pemeriksaan tanpa memakai sekurang-kurangnya vest rasmi JPJ selain dikatakan tidak menunjukkan kad kuasa masing-masing.

Perkara itu katanya menyebabkan berlaku sedikit pertengkaran mulut di antara mereka.

Pemandu bas terbabit mendakwa selain tidak memakai vest, individu mengaku anggota JPJ turut berlagak seperti gangster.

Dalam laporan polis itu juga, pemandu bas memaklumkan sebelum ketiga-tiga individu itu beredar, mereka memberitahu akan menghantar surat saman kepada syarikat bas ekspres terbabit.

Menerusi dua rakaman video yang tular, masing-masing berdurasi seminit 47 saat, dan 38 saat, memperlihatkan reaksi pemandu bas yang tidak berpuas hati dengan tindakan tiga individu berkenaan terhadapnya.

Pemandu bas turut beberapa kali mempertikai mengapa tiga individu berkenaan tidak memakai vest JPJ sekiranya mahu menjalankan pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin mengesahkan laporan polis telah dibuat namun memaklumkan kes itu disiasat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Negeri Sembilan.

Sementara itu, Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf mengesahkan kejadian itu berlaku di Nilai, Negeri Sembilan dan satu kenyataan akan dikeluarkan pihak JPJ pusat dalam masa terdekat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini