Tumpuan :
Nasional

JPJ akan perluas penguatkuasaan secara digital, kaji guna AI kesan pesalah trafik

Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperluas aspek penguatkuasaan secara digital, selain mengkaji penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) khususnya bagi mengesan pesalah trafik secara lebih efektif.

Ia antara langkah penguatkuasaan serta inisiatif digariskan JPJ untuk memastikan keselamatan jalan raya di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya percaya penggunaan teknologi itu dapat membantu JPJ meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan meminimumkan kesalahan yang berlaku.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli. FOTO: NSTP

Selain itu, katanya JPJ akan terus memperkukuhkan penguatkuasaan terhadap kesalahan yang membabitkan risiko kemalangan dan kematian jalan raya yang tinggi.

“Pegawai penguat kuasa akan meningkatkan pemeriksaan secara berterusan di lokasi strategik, terutamanya di lebuh raya dan kawasan dengan kadar kemalangan tinggi.

“JPJ juga akan melancarkan kempen kesedaran awam secara besar-besaran untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan mematuhi peraturan keselamatan jalan raya.

“Program ini akan menyasarkan golongan pemandu muda dan berisiko tinggi, dengan fokus kepada aspek keselamatan seperti pemakaian tali pinggang keledar, kelajuan selamat dan tingkah laku bertanggungjawab di jalan raya,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga bekerjasama dengan pihak berkuasa lain untuk meningkatkan infrastruktur jalan raya di seluruh negara serta memastikan semua kenderaan yang beroperasi di jalan raya mematuhi standard keselamatan ditetapkan.

Katanya, pemeriksaan berkala dan pemeriksaan keselamatan yang ketat akan diteruskan terutamanya untuk kenderaan awam dan komersial.

“JPJ juga akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan syarikat pengangkutan dan persatuan industri untuk memastikan mereka mematuhi peraturan keselamatan jalan raya.

“Dengan langkah yang lebih ketat terhadap kenderaan komersial seperti bas dan lori, kami berharap dapat mengurangkan kemalangan yang melibatkan kenderaan besar di jalan raya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini