Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
PETALING JAYA: Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) menyiasat insiden ketirisan data peribadi lebih 11,000 pemohon Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Ketua Pengarahnya, Prof. Dr. Mohd Nazri Kama, berkata pihaknya telah menghubungi UiTM bagi mendapatkan maklum balas dan status pemilikan data yang terlibat.
“JPDP memandang serius insiden ketirisan data peribadi lebih 11,000 orang pemohon UiTM seperti yang dilaporkan oleh seorang pengguna Twitter melalui ciapannya pada Selasa, 9 Mei 2023 yang lalu.
“JPDP telah menghubungi UiTM pada hari yang sama bagi mendapatkan maklum balas dan status pemilikan data yang terlibat,” katanya.
Jelasnya, JPDP bekerjasama dengan pihak CyberSecurity Malaysia (CSM) untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden itu.
“Kami juga bekerjasama dengan pihak CyberSecurity Malaysia (CSM) untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden yang berlaku bagi mengenal pasti sama ada terdapat sebarang pelanggaran di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709].
“Saya menggesa agar semua Pengguna Data untuk mematuhi Prinsip, Peraturan dan Standard Perlindungan Data Peribadi di bawah Akta 709,” katanya.
Beliau turut mengingatkan Pengguna Data agar lebih teliti dan berhati-hati ketika memproses data peribadi bagi mengelakkan berlakunya insiden ketirisan data peribadi akibat kecuaian.
Terdahulu, UiTM memohon maaf dan mengambil maklum mengenai dakwaan mengenai berlaku kebocoran data lebih 11,000 pemohon universiti berkenaan.
Menerusi akaun Twitter rasminya, UiTM mengesahkan pautan kepada senarai sebanyak 11,891 nombor kad pengenalan dan e-mel pemohon itu tidak lagi aktif kerana kemas kini telah dilakukan.