comscore
Tumpuan :
Nasional

JPDP siasat dakwaan ketirisan data peribadi laman sesawang Misi Rakyat

Foto : Founder Misi / Facebook

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang menyiasat secara terperinci berhubung dakwaan ketirisan data peribadi laman sesawang Misi Rakyat milik syarikat Bangsa Bertauhid Sdn Bhd.

Menerusi kenyataan hari ini, JPDP memaklumkan, pihaknya memandang serius dakwaan insiden penggodaman laman sesawang berkenaan yang dimuat naik seorang penggodam dalam laman sesawang ‘BreachForums’ serta aplikasi Telegram pada 3 dan 4 Julai lalu.

“Berikutan dakwaan tersebut, JPDP telah menerima laporan insiden ketirisan data laman sesawang Misi Rakyat daripada Pasukan Tindak Balas  Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT), CyberSecurity Malaysia (CSM) pada 4 Julai.

“Pada hari sama, JPDP telah menghubungi syarikat Bangsa Bertauhid Sdn Bhd untuk mendapatkan pengesahan berkenaan insiden dan sampel data yang terlibat,” menurut kenyataan itu.

JPDP berkata, pihaknya turut mengarahkan syarikat tersebut untuk menjalankan siasatan dalaman dan melengkapkan borang Notifikasi Ketirisan Data (DBN).

JPDP telah memulakan siasatan selepas menerima Borang DBN daripada syarikat terbabit pada 10 Julai 2023.

“Pengasas laman sesawang Misi Rakyat juga telah dipanggil untuk hadir ke JPDP bagi prosedur rakaman percakapan pada 13 Julai. JPDP bekerjasama dengan CSM untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden ini bagi mengenal pasti sekiranya berlakunya sebarang pelanggaran di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709],” menurut kenyataan itu.

JPDP menggesa semua syarikat dan organisasi yang memproses data peribadi dalam transaksi komersial untuk mematuhi Prinsip, Peraturan dan Standard Perlindungan Data Peribadi di bawah Akta 709.

Syarikat dan organisasi juga diingatkan agar lebih berhati-hati ketika memproses data peribadi bagi mengelak insiden ketirisan data peribadi.

Loading...
Terkini