Tumpuan :
Nasional

Jom Masuk U 2023, peluang pelajar pilih bidang pengajian yang sesuai

Antara pelajar sekolah yang hadir ke Program Jom Masuk U 2023 di Stadium Tertutup Arena Larkin di sini, hari ini.

JOHOR BAHRU: Jelajah acara tahunan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu Program Jom Masuk U tahun ini membuka tirainya di Zon Selatan dan Zon Sarawak bermula semalam.

Perasmian program itu disempurnakan Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar di Stadium Tertutup Arena Larkin di sini, hari ini.

Program berkenaan akan bergerak ke enam lokasi mengikut zon bermula semalam hingga 5 Jun nanti.

Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar

Menurut Abdul Razak, Program Jom Masuk U diadakan dengan tujuan untuk memperluaskan akses dan ekuiti ke pendidikan tinggi sejajar dengan aspirasi KPT melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia – Pendidikan Tinggi (2015 – 2025), di bawah Lonjakan 10: Transformasi Penyampaian Pendidikan Tinggi.

“Tahun ini, program ini disertai 20 Universiti Awam (UA), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), empat Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) serta penglibatan hampir 30 Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) yang terpilih.

“Selain itu, ia turut disertai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Malaysian Athlete Career And Education (MACE), agensi-agensi di bawah JPT, Bahagian Governan Swasta (BGS), Bahagian Education Malaysia (BEM), Bahagian Penguatkuasaan Inspektorat (BPI) serta agensi-agensi di bawah KPT yang lain.

“Program ini akan dilaksanakan di enam zon seluruh Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Jom Masuk U 2023 di Stadium Tertutup Arena Larkin di sini, hari ini.

Program Jom Masuk U 2023 akan bergerak ke Zon Sabah dan Kedah pada 27 dan 28 Mei depan, diikuti Zon Timur pada 3 dan 4 Jun.

Kemuncak program akan diadakan di Zon Tengah pada 4 dan 5 Jun dengan majlis penutupannya akan disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Abdul Razak berkata, cabaran terbesar pelajar lepasan sekolah adalah menentukan pilihan program pengajian yang ingin diikuti.

“Keadaan ini juga memerlukan calon untuk bijak menentukan aliran atau bidang pengajian yang diminati sama ada akademik atau kemahiran serta keupayaan untuk memadankan keputusan peperiksaan di peringkat sekolah dengan pilihan program pengajian serta Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang bersesuaian.

“Sekiranya perkara ini tidak diberi perhatian yang serius, terdapat kemungkinan calon salah membuat pemilihan program pengajian ketika permohonan dan kemudiannya menghadapi masalah ketika mengikuti program pengajian yang ditawarkan kepadanya,” katanya.

Oleh itu, katanya, adalah amat penting untuk calon lebih pro-aktif mencari maklumat berkaitan kemasukan ke IPT tanpa hanya bergantung kepada keluarga dan pihak kaunselor sekolah semata-mata.

Loading...
Terkini