comscore
Tumpuan :
Nasional

Johor tubuh Jawatankuasa Khas Pemurniaan Pengikut-Pengikut GISBH

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menubuhkan Jawatankuasa Khas Pemurniaan Pengikut-Pengikut Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata jawatankuasa berkenaan ditubuhkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menerusi mesyuarat yang ke-275.

Katanya, penubuhan jawatankuasa itu berperanan merangka gerak kerja pemulihan akidah mereka yang terbabit dengan GISBH di negeri ini.

Onn Hafiz berkata, penubuhan jawatankuasa ini juga bertujuan menyelaras pendidikan persekolahan, penempatan dan bantuan yang boleh disalurkan kepada anak-anak pengikut GISBH.

“MAINJ akan terus menggunakan kekuatan enakmen sedia ada dan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selaku agensi agama di peringkat persekutuan bagi meneliti, mengkaji dan termasuk membuat sebarang ketetapan yang berkaitan dengan status GISBH.

“Bagi memelihara kemuliaan dan kesucian Islam serta menjaga keselamatan dan kebajikan rakyat, Kerajaan Johor melalui MAINJbersama Polis Diraja Malaysia (PDRM),telah memulakan dan akan terus mengambil tindakan termasuk meneruskan siasatan ke atas aktiviti dan pergerakan GISBH di Johor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan jenayah kanak-kanak dan mengamalkan fahaman yang bertentangan dengan akidah.

Pada 20 September lalu, media melaporkan Kerajaan Johor akan memutuskan fatwa mengenai kepercayaan atau ajaran yang diamalkan ahli GISBH di negeri itu, selepas kajian mengenainya dilakukan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid dilaporkan berkata, fatwa hanya boleh ditetapkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini