SEGAMAT: Kerajaan Johor akan memberi bantuan wang tunai RM300 kepada setiap keluarga yang terjejas banjir di negeri itu, bertujuan meringankan beban mereka.
Mengumumkan perkara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata sumbangan itu adalah tambahan kepada bantuan RM1,000 yang disalurkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada mangsa banjir.
“Mangsa juga akan diberi bantuan sukarelawan, Southern Volunteers untuk membersihkan rumah jika diperlukan,” katanya ketika melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serba Guna Kampung Paya Merah, Labis, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai situasi banjir di Johor, Onn Hafiz berkata, setakat jam 4 petang tadi, lima PPS ditutup, menjadikan sebanyak 53 PPS beroperasi ketika ini berbanding 58 PPS, semalam.
Mangsa banjir juga berkurangan kepada 5,111 orang, dengan Segamat merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 1,468 mangsa daripada 428 keluarga, yang menghuni di 17 PPS, diikuti Mersing dan Kota Tinggi.
“Alhamdulillah, cuaca hari ini agak baik. Sama-sama kita doakan agar keadaan kembali pulih,” katanya.
Pada masa sama, Onn Hafiz turut menjunjung kasih ke atas limpah kurnia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan seluruh keluarga baginda atas keprihatinan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.